Wednesday, 1, October, 2025
Utama Ekonomi RON95 RM1.99 bukti tadbir urus baik, tekad kerajaan MADANI

RON95 RM1.99 bukti tadbir urus baik, tekad kerajaan MADANI

oleh Ammar Haziq

SANDAKAN: Harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia bermula 30 September ini, hasil penjimatan melalui tatakelola kewangan negara yang telus serta langkah pembersihan amalan ketirisan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, inisiatif yang direalisasikan menerusi Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) itu menepati janji lama PKR dan Pakatan Harapan untuk mengembalikan hasil negara kepada rakyat selepas hutang, rasuah dan ketirisan berjaya ditangani.

“Negara kita boleh jadi kaya jika kita urus dengan bersih dan jujur. Kalau tidak, kita tidak akan senang. Itulah sebab saya bersama rakan-rakan Jemaah Menteri bertekad untuk clear the mess,” katanya ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Yu Yuan, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh; dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Anwar menegaskan, keputusan menurunkan harga petrol untuk rakyat adalah langkah berani kerana tiada negara lain, termasuk pengeluar minyak utama dunia, yang melakukan perkara sama.

“Arab Saudi, pengeluar petrol terbesar, pun harga RM2.60 seliter. Tapi Malaysia mampu beri harga RM1.99 seliter untuk rakyat tempatan. Warga asing pula kekal pada harga RM2.60,” katanya.

Pelaksanaan berperingkat menyaksikan anggota polis dan tentera menikmati harga baharu bermula esok, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad, sebelum diperluaskan kepada seluruh rakyat pada 30 September ini.

“Ini usaha terbaik yang kita boleh lakukan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” tambahnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com