BALING: Pengumuman pemberian subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI95 disambut dengan penuh rasa syukur oleh penduduk luar bandar yang kebanyakannya bergantung kepada motosikal dan kereta sebagai pengangkutan utama harian.
Penduduk kampung rata-rata berpandangan bahawa bantuan bersasar seperti BUDI95 lebih adil kerana menepati sasaran pengguna sebenar petrol di kawasan luar bandar.
Bagi Abdullah Hassan, 52, seorang pekebun getah dari Kampung Charok Kapas, Baling, inisiatif itu dianggap sangat membantu.
Katanya, penggunaan motosikal setiap hari untuk ke kebun dan menghantar hasil getah ke pekan memerlukan petrol dalam jumlah yang banyak.
“Alhamdulillah, memang rasa lega bila kerajaan umumkan subsidi BUDI95 ini. Kami di kampung guna petrol hari-hari, bukan untuk suka-suka tapi untuk kerja. Jadi bantuan ini sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban,” katanya.
Di Kuala Nerang, seorang penoreh getah, Siti Rohani Ahmad, 41, pula menyifatkan bantuan tersebut sebagai bukti kerajaan prihatin dengan nasib masyarakat luar bandar.
“Kalau dulu, setiap kali harga naik, kami paling terkesan sebab nak pergi kebun kena isi minyak tiap-tiap hari.
“Dengan adanya subsidi ini, dapatlah kami berjimat sikit. Duit lebih boleh guna untuk anak sekolah,” katanya.
Sementara itu, Mohd Firdaus Mat, 28, seorang peniaga kecil dari Kampung Naka, Kuala Nerang, berkata penggunaan petrol untuk menghantar barang jualan dari kampung ke pekan amat tinggi.
“Saya bawa barang jualan pakai kereta lama, setiap minggu ulang-alik. Subsidi BUDI95 ini memang terasa manfaatnya. Harap kerajaan terus kekalkan program macam ini untuk bantu orang kampung,” ujarnya.