KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin dunia termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, agar campur tangan segera bagi memastikan pembebasan 12 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Beliau berkata, selain Rubio, beliau turut menghubungi Presiden Turkiye Reccep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dan Presiden Mesir Abdul Fattah al-Sisi untuk menyampaikan desakan sama.
Menurut Anwar, penahanan aktivis dan sukarelawan GSF adalah tindakan zalim kerana mereka hanya menjalankan misi atas dasar keprihatinan kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza yang sedang berdepan kelaparan, krisis kesihatan dan penderitaan berpanjangan.
“Apa yang didakwa kesalahan mereka adalah kerana mahu membantu yang lemah, yang sakit, termasuk wanita dan kanak-kanak. Kalau itu pun tidak boleh dilakukan, maka di manakah nilai kemanusiaan kita?” katanya.
Dalam masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menghubungi rakan sejawat dari beberapa negara bagi menekan Israel membebaskan semua aktivis terbabit tanpa syarat.
Kementerian Luar dalam kenyataan semalam mengecam tindakan Israel sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan serta hak asasi manusia antarabangsa.
Malaysia turut menuntut agar semua aktivis, petugas kemanusiaan dan kru kapal dibebaskan segera serta penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dibenarkan tanpa sebarang halangan.
Setakat ini, 12 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan Israel dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC). Antara mereka termasuk aktivis dan selebriti Heliza Helmi, adiknya Nur Hazwani Afiqah, penyanyi Zizi Kirana, Nurfarahin Romli, Danish Nazran Murad, Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli.
Malaysia juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) serta masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit menghentikan kezaliman Israel yang terus berulang tanpa sebarang hukuman.