SEPANG: Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan telah ditahan oleh tentera Israel pada jam 4.24 petang waktu Malaysia, kata Ketua Pengarah dan jurucakap rasmi Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery.
Menurut beliau, pengesahan itu dibuat selepas komunikasi dengan delegasi terputus selama hampir 20 jam dan visual diperoleh menunjukkan mereka ditahan Israel Defence Forces (IDF).
“Selepas 20 jam daripada insiden pintasan pertama, SNCC mengesahkan pada jam 4.25 petang waktu Malaysia, kesemua 23 delegasi Malaysia diisytiharkan ditahan. Ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) apabila komunikasi terputus dan terdapat bukti visual,” katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Sani turut memaklumkan empat kapal yang membawa sukarelawan Malaysia dalam misi berkenaan — Estrella Manual, Sirius, Alma dan Huga — telah memasuki pelabuhan Ashdod di Ashkelon, Tel Aviv.
“Laporan mengesahkan kapal seperti Sirius dan Estrella telah mula masuk ke pelabuhan Ashdod dan SNCC menjangkakan sebahagian daripada delegasi telah dipindahkan ke darat,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata pasukan perundangan di Jordan kini berada dalam keadaan siap siaga untuk mewakili delegasi Malaysia sekiranya mereka dibawa ke proses soal siasat dan tindakan undang-undang oleh pihak Israel.
SNCC juga memberi jaminan akan segera mengadakan pertemuan bersama keluarga delegasi Malaysia bagi memaklumkan perkembangan terkini serta memastikan mereka mendapat sokongan penuh sepanjang tempoh penahanan itu.
Misi GSF yang disertai lebih 450 aktivis antarabangsa dari pelbagai negara dilaporkan dipintas tentera laut Israel pada Selasa ketika dalam perjalanan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.