Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Persetujuan bersyarat Hamas buka harapan baharu buat Gaza

Persetujuan bersyarat Hamas buka harapan baharu buat Gaza

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan persetujuan bersyarat yang dicapai Hamas terhadap cadangan gencatan senjata sebagai langkah penting ke arah menghentikan peperangan dan pembantaian di Gaza.

Menurut beliau, perkembangan itu membawa sinar baharu buat penduduk Gaza yang telah lama menderita akibat serangan berterusan rejim Zionis.

“Ia adalah perkembangan amat penting kerana mampu membuka ruang untuk menghentikan perang dan pembantaian. Saya yakin langkah ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada warga Gaza yang terus menanggung derita,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Anwar turut menyambut baik kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyeru Israel menghentikan serangan dan pengeboman bagi menjayakan usaha perdamaian di rantau itu.

Beliau berkata, kebijaksanaan dan kesabaran amat diperlukan semua pihak dalam memastikan proses gencatan senjata dapat dilaksanakan dengan segera.

“Ketika ini, yang paling utama ialah menghentikan serangan segera, menjamin tempoh bertenang serta mempercepat penyampaian bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza,” ujarnya.

Perdana Menteri menegaskan, keamanan yang berkekalan tidak akan dicapai sekelip mata sebaliknya perlu dibina berasaskan kesabaran dan komitmen berterusan semua pihak.

“Keamanan kekal tidak boleh berlaku serta-merta. Ia mesti dibina dengan tekad dan langkah berperingkat. Dunia tidak boleh lagi menangguhkan usaha mengakhiri penderitaan rakyat Gaza. Tragedi yang menggoncang nurani dunia ini mesti dihentikan segera,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan peranan negara Arab terutama Qatar dan Turkiye dalam memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar serta membuka laluan ke arah penyelesaian politik jangka panjang.

“Negara-negara Arab, khususnya Qatar bersama Turkiye dan dunia Islam, kini memainkan peranan besar untuk memastikan proses ini terus hidup dan membawa kepada penyelesaian damai yang menyeluruh,” katanya.

Beliau turut menyeru Amerika Syarikat supaya menggunakan pengaruh diplomatiknya bagi menekan Israel agar menghormati undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap penduduk Gaza.

Dalam masa sama, Anwar memaklumkan beliau akan menerima kunjungan Presiden Trump ke Kuala Lumpur hujung bulan ini sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang ASEAN-AS.

Katanya, pertemuan itu diharap dapat membuka lembaran baharu dalam perbincangan global mengenai keamanan dan keadilan sejagat.

“Saya mengharapkan satu ruang dialog yang segar dan terbuka dapat diwujudkan bagi membentuk dunia yang lebih adil dan damai. Malaysia komited untuk terus bersama rakan-rakan antarabangsa memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menegakkan sebuah negara Palestin yang berdaulat serta bermaruah,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com