Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Aktivis Global Sumud Nusantara dijangka tiba di tanah air malam ini

Aktivis Global Sumud Nusantara dijangka tiba di tanah air malam ini

oleh Ammar Haziq

ISTANBUL: Semua aktivis dan peserta misi Global Sumud Nusantara kini dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas selesai menjalani proses dokumentasi serta pemeriksaan kesihatan di Istanbul, Turkiye.

Proses membawa pulang kumpulan itu disempurnakan hasil kerjasama erat antara Duta Besar Malaysia ke Turkiye dan Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul yang memainkan peranan penting memastikan kelancaran urusan di lapangan.

Walaupun keletihan selepas beberapa hari berdepan perjalanan panjang dan urusan pentadbiran, kumpulan aktivis berkenaan dilaporkan kekal bersemangat serta bersyukur kerana akhirnya dapat kembali ke tanah air.

Semangat juang mereka mencerminkan ketabahan serta komitmen tinggi dalam memperjuangkan isu kemanusiaan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.

Rombongan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.45 malam ini.

Misi Global Sumud Nusantara sebelum ini menarik perhatian dunia sebagai simbol solidariti masyarakat antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin, dengan penyertaan sukarelawan Malaysia menzahirkan sokongan padu terhadap nilai kemanusiaan sejagat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com