Tuesday, 21, May, 2024
Utama Nasional Caj transaksi bayaran DuitNow QR tak beban golongan berpendapatan rendah

Caj transaksi bayaran DuitNow QR tak beban golongan berpendapatan rendah

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa caj yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit tidak membebankan golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah bertemu dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour pada Khamis untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya berbincang dengan Gabenor BNM semalam (Khamis).

Mengikut dia, penjelasan yang diberikan (ialah yuran transaksi) tidak akan dikenakan kepada golongan bawahan.

“Yang penting, tidak bebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pameran ‘Postnormal Times’ di KL Jazz and Arts Centre di sini, hari ini.

Semalam, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan pengenaan yuran transaksi kepada vendor untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 November 2023.

Namun, yuran 50 sen akan dikenakan untuk urus niaga melebihi RM5,000 melibatkan pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.

Mengulas desakan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong untuk menghapuskan yuran transaksi berkenaan, Anwar berkata, ia perlu ditangani BNM.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri menjelaskan pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi hanyalah pertemuan mesyuarat pasca-kabinet mingguan biasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com