PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadual berlangsung esok berjalan dengan lancar.
Anwar berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan (MoF) hari ini.
“Doakan semuanya selamat, insya-Allah,” katanya ringkas ketika ditemui media.
Beliau yang juga Menteri Kewangan tiba di MoF kira-kira jam 3 petang dan disambut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Dalam tinjauan itu, Anwar meluangkan masa hampir 30 minit meninjau ruang operasi Belanjawan 2026 di Dewan Utama serta beramah mesra dengan warga MoF yang terlibat dalam penyediaan dokumen tersebut.
Seramai 320 pegawai dan kakitangan MoF daripada pelbagai bahagian termasuk Bahagian Cukai, Bahagian Fiskal dan Ekonomi, Bahagian Antarabangsa serta Pasukan Bajet terlibat dalam penyediaan Belanjawan MADANI Keempat itu.
Anwar turut bergambar bersama pengurusan tertinggi kementerian sebagai penghargaan kepada pasukan yang memainkan peranan penting dalam merangka dokumen belanjawan berkenaan.
Beliau sebelum ini menegaskan bahawa Belanjawan MADANI 2026 akan menggambarkan keutamaan kerajaan dalam membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang inklusif dan berdaya tahan.
Perdana Menteri dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang esok.