KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan kenaikan kadar duti eksais ke atas produk rokok dan minuman keras berkuat kuasa mulai 1 November 2025, sebagai langkah mengurangkan kadar perokok serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kadar duti eksais bagi rokok dinaikkan sebanyak dua sen setiap batang, manakala cigars, cheroots dan cigarillos meningkat RM40 sekilogram.
Bagi produk tembakau dipanaskan (heated tobacco) pula, kadar dinaikkan RM20 bagi setiap kilogram kandungan tembakau.
“Pada masa yang sama, kerajaan melanjutkan tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas produk terapi gantian nikotin hingga 31 Disember 2027, meliputi juga produk seperti nicotine mist dan nicotine lozenges,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Selain itu, kadar duti eksais bagi produk minuman keras turut dinaikkan sebanyak 10 peratus mulai tarikh sama bagi mengurangkan akses kepada alkohol serta mendorong masyarakat mengamalkan tabiat hidup lebih sihat.
Menurut Anwar, hasil tambahan daripada kenaikan duti berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membiayai Inisiatif Kesihatan Paru-Paru, selain program rawatan diabetes dan penyakit jantung.
“Langkah ini selaras dengan prinsip ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, yang menjadi dasar utama dalam memperkukuh sistem kesihatan awam negara,” jelasnya.
Kerajaan turut mencadangkan supaya perbelanjaan vaksin yang layak mendapat pelepasan cukai pendapatan individu diperluas kepada semua jenis vaksin yang didaftar dan diluluskan oleh KKM.
Untuk rekod, Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM470 bilion, merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, dengan tumpuan terhadap disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat.