Monday, 13, October, 2025
Utama Ekonomi Kementerian Pertahanan terima RM21.7 bilion, KDN RM21.2 bilion dalam Belanjawan 2026

Kementerian Pertahanan terima RM21.7 bilion, KDN RM21.2 bilion dalam Belanjawan 2026

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM21.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan RM21.2 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Belanjawan 2026, dengan tumpuan kepada peningkatan kesiapsiagaan dan keselamatan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dana berkenaan merangkumi perbelanjaan bagi penyelenggaraan serta pembelian aset pertahanan bernilai RM6 bilion yang melibatkan perolehan baharu seperti Medium, Short dan Very Short Range Air Defence, dua Multi Role Support Ship dan 10 kenderaan MALBATT.

Selain itu, peruntukan RM1 bilion disediakan untuk penyelenggaraan dan pembelian aset bagi PDRM serta agensi di bawah KDN termasuk 100 kenderaan pickup 4×4 untuk operasi risikan, empat bot ronda Fast Patrol Vessel untuk Pasukan Polis Marin dan sebuah pesawat udara Maritime Surveillance Aircraft untuk APMM.

Lebih RM1.5 bilion turut diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf fasiliti baharu badan beruniform di seluruh negara. Antara projek utama ialah penggantian Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah yang akan tamat tempoh operasi pada Jun 2026 dengan sebuah Multi Purpose Command Platform baharu bagi memperkukuh keselamatan di Pantai Timur Sabah.

Anwar turut mengumumkan inisiatif di bawah skim PROTÉGÉ yang memberi peluang pekerjaan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta program latihan sijil dan diploma untuk anggota ATM yang bakal bersara, termasuk Work-Based Learning dan Readiness To Work Programme.

Dalam usaha memperkukuh kawalan sempadan negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang berjaya mengekang kemasukan lebih 10,000 warga asing dan menyita pelbagai barangan diseludup, menerima peruntukan RM45 juta bagi meningkatkan keupayaan operasi.

Bagi menangani jenayah siber dan penipuan dalam talian, kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang komprehensif. Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) pula diperuntukkan RM12 juta untuk mempertingkat kecekapan pengendalian kes penipuan kewangan.

Selain itu, peranan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) PDRM turut diperkasa dengan dana RM20 juta bagi pemodenan sistem forensik digital dan penubuhan Behavioural Science Unit bagi menganalisis pola serta profil jenayah seksual terhadap kanak-kanak di ruang siber.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com