KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan termasuk kerja menurap semula jalan berlubang dan pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko tinggi kemalangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu antara usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengelak tragedi yang meragut nyawa berulang.
Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan RM30 juta untuk memperkasa peranan Jurutera Daerah dalam mempercepat kerja pembaikan kecil termasuk aduan rakyat menerusi aplikasi MyJalan.
Selain itu, sebanyak RM5.6 bilion disalurkan kepada kerajaan negeri di bawah sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi penyelenggaraan jalan negeri di seluruh negara.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pula akan memasang 3,000 unit lampu LED di beberapa lokasi tumpuan lebuh raya yang dikenal pasti berisiko berlaku kemalangan.
Bagi aspek penguatkuasaan, kerajaan bercadang memberi Elaun Modal Dipercepatkan kepada pemilik kenderaan berat bagi pemasangan alat pengehad kelajuan yang boleh dituntut dalam tempoh setahun.
Kerajaan turut menawarkan geran padanan sehingga RM4,000 bagi menggalakkan pelupusan kenderaan lama melebihi 20 tahun yang tidak lagi ekonomik dan boleh menjejaskan keselamatan.
Anwar turut menzahirkan rasa dukacita terhadap beberapa tragedi jalan raya yang mengorbankan nyawa termasuk kemalangan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), nahas bas pelancong di Ayer Hitam, serta insiden lori di plaza tol Bukit Kajang yang meragut nyawa seorang bayi.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan kemalangan maut di jalan raya dapat dikurangkan melalui pelaksanaan langkah pencegahan dan penyelenggaraan berterusan.