Wednesday, 15, October, 2025
Utama Nasional Pelan damai Gaza: Malaysia sokong usaha hentikan pembunuhan dan kemusnahan

Pelan damai Gaza: Malaysia sokong usaha hentikan pembunuhan dan kemusnahan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan sokongan terhadap pelan damai yang dikemukakan Amerika Syarikat bagi menghentikan pembunuhan serta kemusnahan di Gaza, namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sokongan itu bersyarat.

Beliau berkata, sebarang inisiatif pendamaian hanya boleh diterima sekiranya pelan berkenaan turut mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menyelesaikan isu pendudukan di Tebing Barat serta mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir dari tanah air mereka.

“Dalam mendukung inisiatif Presiden Donald Trump, pendirian ini selaras dengan beberapa negara Islam lain yang berpandangan bahawa usaha damai perlu dimeterai segera memandangkan pembunuhan rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak masih berterusan. Keadaan ini wajib dihentikan segera,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Menurut Anwar, Malaysia menyokong atas dasar kemanusiaan memandangkan keadaan di Gaza semakin tenat dan penduduknya hampir kebuluran. Beliau menegaskan, apa jua inisiatif ke arah keamanan wajar disokong, asalkan tidak mengabaikan hak rakyat Palestin.

Namun, katanya, Malaysia tidak dijemput menghadiri rundingan pelan damai di Sharm El-Sheikh, Mesir, kerana pendirian sokongan bersyarat yang diambil kerajaan.

“Malaysia tidak termasuk kerana kita menyokong dengan bersyarat. Syaratnya ialah penyelesaian komprehensif yang melibatkan pemulangan rakyat Palestin yang terusir serta perkara berkaitan hak Palestin sebagai sebuah negara.

“Pelan damai yang saya baca mengandungi 20 perkara itu tidak menyentuh soal hak rakyat Palestin, kedudukan negara mereka dan isu pendudukan penjajahan yang masih berlaku oleh rejim Zionis di Tebing Barat,” jelas beliau.

Anwar turut mendedahkan bahawa Hamas menghargai pendirian Malaysia dalam menyeru gencatan senjata serta menghentikan kemusnahan di Gaza, menerusi sepucuk surat penghargaan yang diterima beliau semalam.

Dalam masa sama, Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha membina semula infrastruktur penting di Gaza seperti sekolah, hospital dan masjid, dengan kerjasama beberapa negara termasuk Jepun, China, Brazil dan Afrika Selatan.

Beliau memaklumkan bahawa Qatar dan Arab Saudi turut bersetuju mempercepat bantuan kemanusiaan termasuk penyediaan kemudahan asas kepada rakyat Gaza.

“Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bantuan segera. Malaysia juga akan mempercepat pelaksanaan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang dipengerusikan bersama Jepun, bagi tujuan pemulihan dan pembinaan semula Gaza,” katanya.

Menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) mengenai penghantaran sukarelawan ke Gaza, Anwar menjelaskan Malaysia bersedia menghantar pasukan perubatan serta menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya diperlukan.

“Malaysia bersedia kalau diminta atau diperlukan. Setiap kali pasukan pengaman digerakkan, kita tidak pernah menolak. Saya percaya pasukan pendamai merupakan antara jaminan terbaik untuk memastikan keamanan di Gaza,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com