KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri ASEAN Friendship Concert 2025 yang berlangsung penuh meriah di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada malam Sabtu.
Kehadiran beliau menyerikan acara anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, bersempena Kepengerusian Malaysia bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan hujung bulan ini.
Anwar tiba sekitar jam 8 malam dan disambut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah para ketua perwakilan asing di Malaysia termasuk dari negara-negara ASEAN yang menyokong semangat persahabatan dan keterangkuman serantau.
Konsert berdurasi 90 minit itu disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM serta platform rakan strategik di bawah Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU). Ia menampilkan barisan artis dari 10 negara ASEAN dan Timor-Leste, diiringi Orkestra RTM (ORTM) yang terdiri daripada 44 pemuzik profesional.
Mengangkat tema “Melodies of Unity, Rhythms of Friendship”, konsert ini meraikan keindahan perpaduan dan kepelbagaian budaya rantau Asia Tenggara melalui persembahan muzik, tarian dan visual seni yang memukau.
Tirai persembahan dibuka oleh penyanyi Malaysia Aisha Retno dengan lagu Getaran Jiwa dan Samudera, diikuti persembahan artis antarabangsa seperti Cidalia (Timor-Leste), Pach Kimmouy (Kemboja), Valentina Ploy (Thailand), Dila Junaidi (Brunei) dan Adriane Roy Calangian (Filipina).
Suasana konsert semakin rancak apabila Aina Abdul mempersembahkan lagu Jangan Mati Rasa Itu, disusuli nyanyian beramai-ramai lagu The Land We Love dan persembahan medley Hajat/Raikan Cinta oleh Hael Husaini.
Selain nyanyian, penonton turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional dan segmen khas tarian tema ASEAN Friendship Concert 2025 yang memperlihatkan keindahan warisan budaya Asia Tenggara.
Acara turut diselitkan dengan video montaj memperkenalkan negara-negara anggota ASEAN, yang menonjolkan identiti dan kekayaan budaya setiap negara dalam komuniti serantau.
Dihoskan oleh Shahrizan Borhan (Malaysia) dan Dian Querrer (Filipina), konsert berprestij itu diakhiri dengan lagu “Our Land Our Home” nyanyian Aina Abdul, sebagai simbolik semangat “We Are One” – meneguhkan mesej perpaduan, persahabatan dan keharmonian antara negara anggota ASEAN.