Monday, 20, October, 2025
Utama Nasional PM terima perkembangan terkini pelan damai Gaza daripada El-Sisi

PM terima perkembangan terkini pelan damai Gaza daripada El-Sisi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima perkembangan terkini mengenai Pelan Damai Gaza menerusi perbualan telefon bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.

Dalam kenyataan di Facebook, Anwar memaklumkan Presiden El-Sisi turut menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 membawa hasil positif, memandangkan peranannya penting dalam menjamin keamanan berkekalan di Gaza.

Menurut Anwar, Presiden El-Sisi memaklumkan tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza, bagi mengelakkan rejim Zionis mencari alasan untuk melengahkan atau menggagalkan proses damai yang sedang dijalankan.

“Beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut, iaitu pembinaan semula Gaza, perlindungan terhadap Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” kata Perdana Menteri.

Dalam perbualan itu juga, Presiden El-Sisi menyampaikan jemputan rasmi kepada Anwar untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza di Mesir, sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan wilayah berkenaan.

Anwar menegaskan bahawa beliau dan El-Sisi sependapat mengenai keperluan mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, serta menyelaras misi bantuan kepada rakyat Palestin yang terus berdepan penderitaan berpanjangan akibat konflik.

Untuk rekod, fasa pertama Pelan Damai Gaza yang diusulkan oleh Amerika Syarikat telah dipersetujui oleh kumpulan Hamas dan rejim Israel.

Pelan 20 perkara itu diumumkan pada 29 September lalu, merangkumi pembebasan tawanan Israel di Gaza, gencatan senjata, dan pelucutan senjata Hamas sebagai langkah awal ke arah keamanan yang berkekalan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com