Tuesday, 21, October, 2025
Utama Ekonomi PM mahu bincang isu Palestin, perdagangan dengan Trump di Sidang Kemuncak ASEAN

PM mahu bincang isu Palestin, perdagangan dengan Trump di Sidang Kemuncak ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi membincangkan isu perdagangan Malaysia serta kedudukan Palestin dalam usaha menamatkan konflik di Gaza.

Perdana Menteri berkata, pertemuan itu dijadual berlangsung sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan fokus terhadap keamanan global serta peluang memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Menurut Anwar, keyakinan untuk berbincang secara terbuka dengan Trump berasaskan sikap positif yang ditunjukkan pemimpin itu dalam menghentikan pengeboman di Gaza.

“Kami telah berbual menerusi telefon dua kali. Beliau sangat mesra, mendengar dengan baik dan memberikan sokongan terhadap usaha keamanan di Gaza,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Ilmu Permodalan Nasional Berhad (PNB) Knowledge Forum 2025, hari ini.

Anwar berkata, beliau mahu memanfaatkan kesempatan itu untuk membawa suara dunia Islam, khususnya membabitkan isu Palestin, ke peringkat antarabangsa.

“Trump telah memainkan peranan besar dalam menamatkan serangan udara di Gaza, namun cabaran sebenar adalah memastikan Palestin benar-benar bebas, selamat dan berdaulat,” tegasnya.

Beliau menambah, perjuangan rakyat Palestin bukan sekadar soal hentikan peperangan, tetapi melibatkan keadilan dan pengiktirafan hak mereka sebagai sebuah negara berdaulat.

“Keamanan hanya akan tercapai apabila hak dan aspirasi rakyat Palestin diiktiraf sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar menekankan pentingnya Malaysia mengekalkan hubungan strategik dengan Amerika Syarikat serta negara-negara ASEAN bagi memperkukuh perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

“Kita kini kembali sebagai negara perdagangan aktif dengan pelaburan besar dari Amerika Syarikat dan Eropah. Hubungan ini penting untuk memastikan Malaysia terus maju di pentas global,” ujarnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menjadi platform penting buat Malaysia mengemukakan pandangan berhubung keseimbangan geopolitik serantau, termasuk peranan kuasa besar dalam memastikan kestabilan Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com