Sunday, 28, April, 2024
Utama Ekonomi Komitmen pelaburan kedua dari China cermin langkah proaktif Kerajaan Perpaduan

Komitmen pelaburan kedua dari China cermin langkah proaktif Kerajaan Perpaduan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia meraih komitmen pelaburan kedua dari China pada tahun ini adalah susulan daripada usaha proaktif Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencari peluang pelaburan untuk memberi manfaat kepada negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, dalam lawatan kerja sehari ke Nanning pada Ahad atas jemputan Perdana Menteri China Li Qiang untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Dalam lawatan kerja sehari ke Nanning, China, Perdana Menteri yang disertai beberapa menteri Malaysia telah menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China.

Daripada tiga MoU tersebut, yang pertama dengan anggaran nilai RM15 bilion adalah pertukaran antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, iaitu kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji jana kuasa sisa kepada tenaga, terutamanya di Malaysia.

MoU kedua, bernilai kira-kira RM2.34 bilion, adalah antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group manakala MoU ketiga, dengan potensi nilai eksport sebanyak RM2.5 bilion, dimeterai antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

Potensi usaha niaga dengan syarikat China dalam industri logistik dan minyak sawit akan turut membantu mengukuhkan industri sedia ada Malaysia.

Pada sidang media, menerusi laporan Bernama, Anwar berkata MoU antara Sime Darby Oils International dan GuangXi Beibu akan membantu melindungi kepentingan pekebun kecil dan pengeluar sawit.

Berkongsi pandangan yang sama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyifatkan MoU tersebut sebagai berita baik untuk industri minyak sawit.

CAEXPO 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) berlangsung dari 16-19 Sept.

Lawatan ini merupakan lawatan kedua ke China untuk Anwar apabila Perdana Menteri membuat lawatan sulungnya ke China pada Mac lepas, dan beliau melawat Beijing dan Hainan selepas memegang jawatan tersebut pada November lalu.

Lawatan pertama menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi berjumlah RM170 bilion daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2023, Malaysia berjaya menarik RM132.6 bilion nilai pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama melibatkan 2,651 projek yang dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com