KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ekstremisme dan pengganas ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, selain ancaman ekstremisme, aspek keselamatan siber, potensi tunjuk perasaan tidak terkawal dan pengurusan trafik di sekitar lokasi utama persidangan turut dikenal pasti sebagai cabaran utama.
“Bagi menghadapi cabaran tersebut, langkah-langkah proaktif telah diambil termasuk risikan awal, pemantauan berterusan, serta penempatan pasukan tindakan khas di lokasi strategik,” katanya yang dipetik menerusi Bernama.
Beliau berkata, seramai 10,170 pegawai dan anggota PDRM digerakkan sepanjang acara berprestij itu berlangsung, dengan pelbagai aset keselamatan digunakan termasuk dron pemantauan, kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi serta sistem komunikasi taktikal bersepadu.
Menurutnya, PDRM juga menggunakan pendekatan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi di lapangan selain memperkukuh kolaborasi dengan agensi keselamatan lain.
Katanya lagi, kawalan keselamatan bukan sahaja tertumpu di lokasi utama persidangan dan hotel penginapan rasmi delegasi, malah turut meliputi semua pintu masuk utama negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat.
“Kawasan strategik di sekitar Lembah Klang termasuk Putrajaya berada di bawah pemantauan rapi. Semua kontinjen PDRM telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam atau menganjurkan perhimpunan semasa sidang kemuncak berlangsung.
“Kami menerima maklumat awal tentang perancangan beberapa perhimpunan di ibu kota. Saya nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat gangguan terhadap majlis, laluan ke lokasi dan paling penting jangan cetuskan huru-hara.
“Jika terdapat pelanggaran terhadap perkara ini, ia akan dianggap sebagai jenayah,” katanya pada sidang media di ibu negara.
Beliau turut menggesa masyarakat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran persidangan yang menjadi tumpuan dunia itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.