KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan peribadinya agar hukuman rotan dikembalikan di sekolah, namun menegaskan pelaksanaannya mesti disertai dengan peraturan ketat bagi mengelak penyalahgunaan.
Menurut beliau, hukuman tersebut tidak seharusnya dijalankan secara terbuka, sebaliknya dilakukan di tangan oleh guru yang dilantik khas di bilik disiplin, dengan jumlah maksimum rotan ditetapkan.
“Pandangan peribadi saya, hukuman rotan harus dikembalikan, tapi bukan diberi kelonggaran sepenuhnya. Mungkin boleh rotan di tangan.
“Saya pernah jadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan, tapi di tangan, tentunya tidak teruk sangat sehingga nampak seperti penderaan,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Anwar turut mengakui wujud pandangan berbeza termasuk daripada kumpulan hak asasi manusia yang menganggap rotan sebagai satu bentuk penderaan. Namun, katanya, ramai ibu bapa dan pendidik melihat hukuman itu perlu dikembalikan bagi mendidik anak-anak yang melanggar disiplin.
“Kalau dikembalikan hukuman rotan itu, ada syarat-syarat yang ketat dan perlu ditugaskan guru tertentu, dilakukan di bilik khas serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan.
“Saya fikir ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana kenakalan anak-anak perkara biasa. Tapi kalau melanggar peraturan secara berlebihan, perlu juga ada hukuman. Cuma ini sekadar pandangan, bukan dasar kerajaan,” jelasnya.
Beliau menambah, Kementerian Pendidikan (KPM) wajar meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh dengan mengadakan libat urus bersama pelbagai pihak sebelum membuat keputusan muktamad.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman rotan mestilah bersifat mendidik, bukan mendera, serta tidak boleh dilakukan di khalayak umum bagi menjaga maruah dan emosi pelajar.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya pendidik dan ibu bapa yang menyokong pendekatan disiplin tegas tetapi berhemah di sekolah.