Sunday, 26, October, 2025
Utama Nasional Malaysia Komited Jayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Malaysia Komited Jayakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmen penuh bagi memastikan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berjalan lancar dan memberi impak positif kepada rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sidang kali ini menjadi platform penting untuk memperkukuh perpaduan serantau, memperluas kerjasama ekonomi dan menegaskan peranan ASEAN sebagai pusat kestabilan serta kemakmuran di Asia Tenggara.

“Mohon doa seluruh rakyat agar segala urusan dipermudahkan dan berlangsung dengan jayanya, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menghadiri pramesyuarat persediaan terakhir bersama kepimpinan tertinggi negara malam tadi sebagai persediaan menjelang sidang kemuncak yang berlangsung di bawah kepengerusian Malaysia.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini membawa tema “Keterangkuman dan Kemampanan” serta disifatkan antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok berkenaan, dengan penyertaan pelbagai pemimpin dunia dan rakan dialog antarabangsa.

Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN sejak penubuhan badan itu pada 1967. Negara ini pernah memegang peranan sama pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Penganjuran kali ini dijangka memberi tumpuan kepada isu kerjasama ekonomi serantau, integrasi digital, keselamatan makanan, dan kelestarian alam sekitar, selaras dengan aspirasi menjadikan ASEAN lebih inklusif dan mampan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com