Sunday, 26, October, 2025
Utama Nasional Tindakan undang-undang terhadap Israel sama seperti menentang dasar apartheid – Presiden Afrika Selatan

Tindakan undang-undang terhadap Israel sama seperti menentang dasar apartheid – Presiden Afrika Selatan

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Keputusan Afrika Selatan membawa tindakan undang-undang terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dibuat atas dasar keyakinan moral, sama seperti perjuangan negara itu menentang dasar apartheid satu ketika dahulu.

Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, berkata situasi di Gaza kini boleh disamakan dengan satu bentuk pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di depan mata dunia.

“Apabila kami melihat pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di Gaza, kami merasakan adalah wajar untuk bertindak sebagaimana dunia pernah bertindak menentang apartheid,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia, di sini.

Ramaphosa berkata, tindakan undang-undang itu tetap diteruskan walaupun berdepan risiko besar dan tentangan daripada pelbagai pihak, kerana perjuangan menegakkan keadilan tidak boleh dikompromi.

“Kami menghargai sokongan Malaysia terhadap tindakan berani ini dan kami akan terus memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

“Ia sama seperti dunia dahulu memperjuangkan keadilan untuk rakyat Afrika Selatan apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan dasar apartheid sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, Malaysia antara negara yang pernah menentang dasar apartheid dan kini terus menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dalam pada itu, Ramaphosa turut menjemput Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Afrika Selatan tahun depan bagi memperkukuh lagi hubungan persahabatan serta kerjasama lama antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, jemputan itu dibuat susulan lawatan Anwar ke Johannesburg bulan depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20, yang disifatkannya sebagai “pemanas badan” sebelum lawatan rasmi berlangsung.

“Kami amat berbesar hati untuk menyambut anda ke negara paling indah di dunia, iaitu Afrika Selatan. Tetapi selepas datang ke Malaysia buat kali pertama, saya akui Afrika Selatan kini ada saingan, Malaysia juga sangat indah,” katanya berseloroh.

Ramaphosa menjelaskan pertemuannya dengan Anwar menjadi langkah penting memperbaharui dan memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

“Kami mengesahkan semula bahawa peluang perdagangan dan pelaburan perlu diperluas antara dua negara, lebih-lebih lagi dalam suasana geopolitik yang tegang ketika ini apabila perdagangan turut dijadikan senjata,” katanya.

Kedua-dua negara turut bersetuju memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan, khususnya antara Kesatuan Afrika (AU), Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan ASEAN.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com