Monday, 27, October, 2025
Utama Sukan PM bincang usaha perkukuh ekosistem bola sepak dengan Presiden FIFA

PM bincang usaha perkukuh ekosistem bola sepak dengan Presiden FIFA

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meluangkan masa bertemu Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, bagi membincangkan usaha memperkukuh ekosistem bola sepak Malaysia dan rantau ASEAN.

Pertemuan itu diadakan di tengah-tengah kesibukan jadual rasmi Anwar menerima kunjungan pemimpin antarabangsa bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Putrajaya.

Menurut Anwar menerusi hantaran di Facebook, pertemuan berkenaan antara lain memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek Arena FIFA, yang dijangka menjadi pemangkin kepada kelahiran lebih ramai bakat tempatan serta peningkatan prasarana bola sepak negara.

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA, sebagai langkah strategik ke arah menjadikan rantau ini kuasa bola sepak yang disegani di peringkat global.

“Malaysia akan terus memberi tumpuan terhadap pembangunan bola sepak negara melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA,” katanya.

Anwar berkata, usaha itu penting bagi melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com