Sunday, 28, April, 2024
Utama Sukan FAM anjur Hari Bola Sepak Wanita AFC ke-10

FAM anjur Hari Bola Sepak Wanita AFC ke-10

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)  telah meraikan seramai 60 kanak-kanak perempuan berusia di antara 10 hingga 15 tahun sempena Hari Bola Sepak Wanita AFC ke-10 di Taman Ekuestrian, di sini pada Ahad.

Karnival bola sepak yang itu telah memberi peluang kepada kumpulan kanak-kanak perempuan yang hadir pendedahan terhadap bola sepak.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, beliau menzahirkan ucapan terima kasih terhadap barisan ibu bapa yang telah hadir bagi menyokong program tersebut. 

“Menerusi penganjuran program ini, kita dapat lihat ibu bapa kini lebih terbuka untuk melihat anak perempuan mereka bermain bola sepak.

“Saya berharap kanak-kanak yang hadir pada hari ini sedikit sebanyak dapat memperoleh ilmu mengenai bola sepak,” kata beliau.

Hadir sama adalah timbalan pengerusinya, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah bersama Exco FAM, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan ACP (B) Md Dali bin Wahid serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.

Yang turut hadir, ahli Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dalizwa Deena Salihin.

Selain itu, duta bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur, Nur Lyana Soberi dan Azurin Mazlan turut turun memberikan sokongan dan tunjuk ajar kepada barisan pemain.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com