KUALA LUMPUR: Malaysia komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh diperbaharui serta minyak dan gas di bawah kerangka Pelan Kerjasama Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) bersama China.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri China, Li Qiang sempena mesyuarat hubungan dua hala Malaysia–China yang diadakan di ibu negara.
Menurut beliau, pertemuan itu memperkukuh lagi hubungan erat kedua-dua negara yang berteraskan kepercayaan serta saling menghormati, selain menjadi simbol persahabatan yang semakin kukuh dan berpaksikan kestabilan serantau.
“Perbincangan kami tertumpu kepada pengukuhan perdagangan dan pelaburan dua hala. Malaysia komited memperluas eksport bernilai tinggi dalam sektor E&E, aeroangkasa, perubatan, tenaga boleh diperbaharui dan minyak & gas di bawah kerangka Pelan Kerjasama BRI.
“Saya turut menekankan kepentingan projek seperti Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim hasil kerjasama Proton dan Geely, selain peluasan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta kerjasama pelabuhan antara Malaysia dan China. Semua ini bakal memperkukuh kedudukan negara sebagai hab logistik dan maritim serantau,” katanya dalam kenyataan pada .
Beliau turut menambah, Malaysia mengalu-alukan pelaburan berterusan syarikat China dalam bidang digital, semikonduktor dan teknologi hijau, seiring aspirasi negara untuk menjadi hab inovasi utama ASEAN.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan majlis menandatangani Protokol Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA) 3.0, yang disifatkan sebagai langkah memperkukuh integrasi ekonomi dan memacu pertumbuhan mampan serta inklusif di rantau ini.
Perjanjian itu dimeterai oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Perdagangan China, Wang Wentao, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan itu juga, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin menyentuh mengenai Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, yang dianggap sebagai satu kejayaan diplomasi ASEAN dalam menegakkan keamanan melalui kepercayaan dan dialog.
“Premier Li menzahirkan sokongan China terhadap usaha damai yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini — satu kejayaan penting dalam memastikan keamanan serantau terus terpelihara,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan China turut menyatakan komitmen berterusan untuk membantu merungkai krisis di Myanmar, khususnya dalam memastikan gencatan senjata dikekalkan serta membawa semua pihak kembali ke meja rundingan demi keamanan dan kemakmuran rantau ini.
Langkah strategik yang dibincangkan ini, menurut Anwar, menunjukkan keazaman bersama antara Malaysia dan China untuk memperkukuh kerjasama serantau, bukan sahaja dalam bidang perdagangan tetapi juga dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran jangka panjang ASEAN.