Thursday, 30, October, 2025
Utama Nasional Albanese mulakan lawatan rasmi ke Malaysia selepas hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

Albanese mulakan lawatan rasmi ke Malaysia selepas hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memulakan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Lawatan tersebut dibuat atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan merupakan lawatan rasmi pertama Albanese ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan itu pada 21 Mei 2022.

Sempena lawatan berkenaan, kedua-dua pemimpin dijadual mempengerusikan bersama Mesyuarat Tahunan Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Australia (ALM) kali ketiga, bagi membincangkan pelbagai aspek penting kerjasama dua hala.

Menurut Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kolaborasi tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, pendidikan, hubungan antara rakyat, pertahanan dan keselamatan, serta pembangunan sektor halal, belia dan sukan.

“Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa termasuk kepusatan ASEAN, situasi di Asia Barat dan Indo-Pasifik serta kerjasama maritim,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Selain itu, Anwar dan Albanese turut dijangka menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) — masing-masing mengenai Jenayah Rentas Sempadan Negara dan bidang Pendidikan.

Lawatan itu juga akan menyaksikan majlis perasmian kampus baharu Universiti Monash di Kuala Lumpur, melambangkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan pendidikan tinggi dan pertukaran akademik.

Kementerian Luar menjelaskan, hubungan dua hala Malaysia–Australia telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2021. Langkah itu membuka peluang lebih luas untuk kedua-dua negara meneroka kerjasama baharu di bawah tiga tonggak utama CSP — kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.

Australia kekal sebagai antara rakan dagang utama Malaysia di rantau Indo-Pasifik. Pada tahun 2024, jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai RM51.5 bilion (AS$11.87 bilion), dengan eksport Malaysia berjumlah RM32.23 bilion (AS$7.44 bilion) dan import sebanyak RM19.27 bilion (AS$4.43 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Australia direkodkan sebanyak RM58.01 bilion (AS$13.41 bilion). Setakat Jun lalu, jumlah terkumpul pelaburan Australia di Malaysia mencecah RM6.12 bilion (AS$1.73 bilion).

Lawatan rasmi Albanese ini dijangka memperkukuh lagi asas hubungan diplomatik dan ekonomi Malaysia–Australia, serta merintis peluang kerjasama baharu yang strategik dan berimpak tinggi di peringkat serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com