Saturday, 18, May, 2024
Utama Nasional Sultan Selangor perkenan bawa isu kalimah Allah dalam MKI pada Ogos

Sultan Selangor perkenan bawa isu kalimah Allah dalam MKI pada Ogos

oleh Ammar Haziq
Perdana Menteri menyembah maklum kepada Sultan Selangor berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan untuk membawa perkara berkaitan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada Ogos ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata baginda memperkenankan perkara itu ketika beliau menghadap Sultan Sharafuddin hari ini dan mengadakan perbincangan bersama berhubung isu tersebut.

Katanya, selepas isu berkenaan dibawa ke MKI, ia akan diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula.

“Saya menyembah maklum kepada baginda berhubung keputusan kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.

“Dalam sesi menghadap tersebut, saya menjelaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang menghormati undang-undang berkuat kuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri.

“(Hal ini) dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata selepas perbincangan bersama Sultan Selangor, beliau menghormati pandangan baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri pada Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang mengehadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari lalu yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Susulan itu, Jemaah Menteri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembah cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com