Thursday, 30, October, 2025
Utama Nasional Malaysia tidak jual kedaulatan negara dalam perjanjian perdagangan dengan AS – Fahmi

Malaysia tidak jual kedaulatan negara dalam perjanjian perdagangan dengan AS – Fahmi

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dakwaan kononnya perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menjejaskan kedaulatan negara adalah tidak benar sama sekali.

Beliau berkata, setiap perjanjian yang dimeterai kerajaan melalui proses penelitian yang ketat melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara.

“Tidak mungkin Kabinet akan bersetuju dengan mana-mana perjanjian yang boleh menjejaskan kedaulatan negara. Semua perjanjian diteliti oleh AGC terlebih dahulu kerana peranan mereka ialah menasihati kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2025 di sini.

Fahmi menolak tuduhan bahawa Malaysia “menjual kedaulatan negara” melalui perjanjian tersebut, sambil menyifatkannya sebagai tohmahan tidak berasas yang boleh menimbulkan kekeliruan rakyat.

“Kedaulatan negara tidak pernah tergadai. Satu-satunya ketika ia tercabar ialah sewaktu Pulau Batu Puteh dilepaskan, dan itu amat dikesali. Selain daripada itu, tidak pernah berlaku,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih sebaliknya merujuk kepada sumber rasmi kerajaan bagi mengelak kekeliruan.

Perjanjian perdagangan komprehensif Malaysia-AS yang dimeterai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini bertujuan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

Melalui perjanjian itu, Malaysia bersetuju memberi akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS termasuk bahan kimia, jentera, kelengkapan elektrik, logam dan kenderaan penumpang selain produk pertanian seperti tenusu, ayam itik dan beras.

Sebagai timbal balas, AS mengekalkan tarif pada kadar 19 peratus terhadap barangan Malaysia, manakala beberapa produk terpilih akan menikmati kadar sifar di bawah kategori rakan kongsi sejajar.

Malaysia juga bersetuju tidak mengenakan larangan atau kuota terhadap eksport mineral penting dan unsur nadir bumi ke AS serta akan bekerjasama dengan syarikat Amerika bagi memastikan kestabilan dan kepastian dalam kapasiti pengeluaran negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir semalam merupakan kali kelima Malaysia memegang kepengerusian ASEAN sejak penubuhan blok itu pada 1967, sebelum ia diserahkan kepada Filipina bermula 1 Januari 2026.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com