Saturday, 1, November, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Lelaki maut kepala terputus, adik ipar ditahan bersama parang

Lelaki maut kepala terputus, adik ipar ditahan bersama parang

oleh Ammar Haziq

JERLUN– Seorang lelaki ditemukan maut dengan kepala terputus daripada badan selepas dipercayai ditetak adik iparnya dalam kejadian di Kampung Pida 3 berhampiran sawah padi di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah [nama daerah], Superintendan [nama pegawai], berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 7.05 malam memaklumkan berlaku pergaduhan antara dua lelaki Melayu di kawasan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, polis menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di dalam sawah padi berhampiran rumah suspek. Pemeriksaan mendapati kepala mangsa telah terputus daripada badan dan terdapat beberapa kesan tetakan pada tubuh,” katanya.

Menurutnya, suspek berusia 38 tahun berjaya ditahan di rumahnya kira-kira jam 8 malam selepas pihak polis berjaya memujuknya menyerah diri. Ketika itu, suspek masih memegang sebilah parang berukuran 30 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

“Suspek bertindak agresif dan cuba menyerang anggota polis, namun selepas rundingan selama lebih kurang 15 minit, dia akhirnya menyerah diri. Parang yang digunakan turut dirampas di lokasi kejadian,” katanya.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun merupakan abang ipar kepada suspek, dan kedua-duanya bekerja sebagai petani sawah.

“Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” ujar beliau.

Tambahnya, jarak antara rumah suspek dan lokasi mayat ditemui adalah kira-kira 30 meter, dan suspek tidak melarikan diri sebaliknya hanya bersembunyi di dalam bilik rumahnya selepas kejadian.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kita belum dapat mengenal pasti punca sebenar pergaduhan. Ujian urin terhadap suspek juga belum dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat, manakala suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kejadian ini sehingga siasatan selesai,” tegas beliau.

Difahamkan, mangsa meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com