KUALA LUMPUR: Malaysia menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan aliran pelaburan dan memperkukuh hubungan dagangan dua hala, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, perjanjian tersebut tidak menjejaskan kedaulatan negara kerana ia disertakan dengan klausa keluar (exit clause) yang membolehkan Malaysia menarik diri sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada negara.
“Perjanjian ini ditandatangani kerana kita perlukan pelaburan serta perdagangan yang besar dari Amerika Syarikat. Ia dibuat selepas penelitian teliti dan bukan bermaksud menyerahkan kedaulatan ekonomi negara,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, ART turut mendapat perhatian China yang meneliti isi kandungannya bagi memastikan ia tidak menjejaskan peluang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Menurut Anwar, Malaysia kekal dengan dasar perdagangan bebas yang terbuka kepada semua negara dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar, sebaliknya menumpukan kepada kepentingan ekonomi rakyat dan kestabilan pelaburan jangka panjang.
Tambah beliau, keputusan memeterai ART dibuat selepas perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia selaras dengan dasar nasional.
Katanya, Malaysia komited memastikan setiap perjanjian perdagangan yang ditandatangani memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan peningkatan daya saing negara di rantau ini.