KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyalurkan hampir RM20 bilion bagi melaksanakan pelbagai program bantuan untuk golongan berpendapatan rendah tahun ini, sekali gus menurunkan kadar kemiskinan tegar negara kepada hanya 0.09 peratus.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu merangkumi inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain sokongan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Daripada senarai yang dimasukkan, baki 0.09 peratus itu adalah kategori kemiskinan tegar. Itu angka awal tahun dan kini semua kes dalam senarai berkenaan telah diselesaikan, bukan oleh Kerajaan Persekutuan sahaja tetapi juga dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Berdasarkan data e-Kasih, bilangan isi rumah miskin tegar telah berkurangan dan kita mempunyai keupayaan untuk menyelesaikannya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN–Kuala Kangsar) mengenai kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.
Menurutnya, usaha menghapuskan kemiskinan tegar turut melibatkan kerjasama erat kerajaan negeri termasuk di Kelantan dan Kedah, khususnya bagi menambah baik proses pengesanan serta penyelarasan bantuan.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan bahawa kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 dan kini RM1,700, serta pelarasan gaji antara 25 hingga 30 peratus bagi penjawat awam berpendapatan rendah, turut membantu mengurangkan kemiskinan relatif dan jurang pendapatan.
“Penjawat awam dalam kategori rendah ini tergolong dalam kumpulan miskin, bukan miskin tegar, tetapi masih miskin. Jadi apabila kita naikkan gaji mereka antara 25 hingga 30 peratus, khususnya bagi kumpulan terbawah, ia membantu mengurangkan kesenjangan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Saya harap ada ruang lagi untuk peningkatan sebaik sahaja keadaan ekonomi lebih meyakinkan,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Iskandar mengenai pelaksanaan bantuan SARA RM100 dan akses penerima luar bandar untuk berbelanja di kedai kecil, Anwar memaklumkan bahawa lebih 80 peratus penerima telah menebus bantuan itu setakat ini, dengan lebih 2,000 kedai kecil luar bandar kini menerima transaksi di bawah program berkenaan.
Beliau berkata, peningkatan tersebut membuktikan pelaksanaan program itu bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, tetapi turut merancakkan aktiviti ekonomi setempat, berbanding hanya sekitar 180 kedai ketika inisiatif itu mula diperkenalkan.
Menjawab soalan tambahan Roy Angau Gingkoi (GPS–Lubok Antu) mengenai usaha mengurangkan kemiskinan di Sabah dan Sarawak, Anwar menjelaskan kerajaan memberi keutamaan kepada negeri berpendapatan rendah dan kawasan pedalaman melalui program seperti STR dan SARA yang mencatat agihan tertinggi di Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Pendekatan agihan bantuan di kawasan rumah panjang juga, katanya, memerlukan penyesuaian mengikut struktur komuniti setempat bagi memastikan penerima benar-benar mendapat manfaat secara berkesan.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) mengenai indikator baharu pengukuran kemiskinan dan penggunaan data Pangkalan Data Utama (PADU), Perdana Menteri berkata kerajaan sedang menyelaras pangkalan data MyKad dengan rekod agensi Persekutuan, negeri, zakat dan bantuan lain bagi mengelak pertindihan serta memastikan bantuan sampai kepada golongan layak.
“Selain bantuan tunai, kita turut memperkasa program seperti Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN supaya keluarga dapat menjana pendapatan stabil dan tidak kembali kepada kemiskinan,” jelasnya.