Saturday, 1, November, 2025
Utama Ekonomi SARA bantu rakyat, kukuh ekonomi tempatan : lebih 80 peratus penerima sudah tebus

SARA bantu rakyat, kukuh ekonomi tempatan : lebih 80 peratus penerima sudah tebus

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Program bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja meringankan beban rakyat berpendapatan rendah, malah turut menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penglibatan ribuan kedai runcit kecil di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini lebih 80 peratus penerima layak telah menebus bantuan tersebut, manakala baki 20 peratus lagi masih belum berbuat demikian.

“Saya harap golongan berpendapatan tinggi termasuk menteri dan ahli Parlimen tidak mengambil bantuan ini supaya dana tersebut dapat disalurkan semula kepada rakyat miskin mulai tahun 2026,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, jika bantuan itu digunakan untuk membantu jiran atau keluarga yang memerlukan, langkah tersebut dianggap wajar dan selaras dengan semangat saling membantu dalam masyarakat.

Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas–Kuala Kangsar) di Dewan Rakyat yang meminta penjelasan mengenai kemajuan Kerajaan MADANI dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.

Menurutnya, pelaksanaan SARA turut memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan apabila lebih 2,000 kedai runcit di luar bandar dan daerah kini terlibat dengan platform tersebut, berbanding hanya sekitar 180 kedai sebelum ini.

“Melalui SARA, kita bukan sahaja membantu isi rumah B40 memperoleh keperluan asas, tetapi pada masa sama turut memperkukuh perniagaan kecil di kampung dan pekan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan akan meneruskan program SARA selepas tahun 2026 sekiranya keadaan ekonomi negara kekal baik kerana inisiatif itu mendapat sambutan positif daripada rakyat.

“SARA ini amat disenangi rakyat kerana mereka boleh membeli sendiri barangan harian menggunakan bantuan tersebut, di samping membantu peniaga tempatan yang menjadi sebahagian daripada ekosistem bantuan ini,” ujarnya.

SARA diperkenalkan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan sebagai bantuan tunai bersasar kepada isi rumah berpendapatan rendah, khususnya kumpulan B40.

Bantuan itu membolehkan penerima membeli barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan dapur di kedai terpilih yang berdaftar di bawah platform SARA.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com