KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keadaan kesihatannya kini semakin pulih selepas mengalami masalah belakang baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini, Anwar berkongsi sebuah video yang memaparkan dirinya meluangkan masa bersama anak dan cucu perempuannya.
“Healing dengan cucu. Alhamdulillah, kian beransur pulih. Terima kasih atas doa semua,” tulis beliau ringkas dalam hantaran berkenaan.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Anwar terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang yang dijadualkan pada Ahad, atas nasihat pasukan perubatan berikutan masalah sakit belakang yang dihadapi.
Menurut PMO, keadaan itu menyebabkan pergerakan Perdana Menteri terbatas dan beliau dinasihatkan supaya mendapatkan rehat secukupnya bagi mempercepatkan proses pemulihan.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadirannya dan memohon maaf atas pembatalan lawatan berkenaan.
Perdana Menteri sebelum ini pulang ke tanah air pada Sabtu selepas mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan.
Sebelum itu, beliau turut mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin utama dunia dari 26 hingga 28 Oktober lalu.