KUALA LUMPUR:Kerajaan bersetuju menaikkan had penggunaan petrol bersubsidi di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing yang layak kepada 800 liter sebulan berbanding 600 liter sebelum ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas pemandu e-hailing yang mendapati jumlah semasa tidak mencukupi untuk menampung kos operasi harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini yang ingin mengetahui perkembangan pelaksanaan BUDI95 pada bulan pertama serta langkah kerajaan menangani isu dibangkitkan pemandu teksi dan e-hailing.
“Untuk Oktober, subsidi bagi pemandu e-hailing aktif dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter untuk 58,000 pemandu yang layak. Namun, ada yang merasakan jumlah itu tidak mencukupi.
“Kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan kepada 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing yang layak,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa secara purata, penggunaan petrol RON95 bagi setiap individu di bawah program BUDI95 hanya 98 liter sebulan, iaitu 33 peratus daripada had 300 liter yang ditetapkan.
“Yang menggunakan lebih daripada 300 liter hanyalah 0.7 peratus pengguna, termasuk mereka yang kerap berulang-alik ke kampung,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan BUDI95 sejak dilancar juga telah meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan penggunaan subsidi secara bersasar serta membantu mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api.