Thursday, 9, May, 2024
Utama Umum Pemimpin ambil sumber kekayaan negara, negeri akan disingkirkan

Pemimpin ambil sumber kekayaan negara, negeri akan disingkirkan

oleh admin

DUNGUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pemimpin yang mengambil sumber kekayaan negeri atau negara untuk kepentingan peribadi akan disingkirkan daripada jawatan serta-merta.

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya memandang serius sebarang isu melibatkan salah guna kuasa dan tidak akan membenarkan perkara sedemikian berlaku.

“(Ia) dilarang sama sekali dan kalau berlaku, mereka akan disingkirkan daripada jawatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said dan pimpinan tertinggi lain.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak akan sesekali mengizinkan sebarang amalan mengambil kekayaan daripada negeri atau negara.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam masa sama menempelak ‘kumpulan’ yang didakwa memperjuangkan Islam dan Melayu tetapi tidak bersuara dalam isu pengambilan sumber kekayaan negeri atau negara.

“Saya hendak tanya (kepada) orang yang heboh bercakap soal Melayu dan Islam, beranikah sebut bahawa mereka tidak izinkan pemimpin mengambil balak, kontrak atau saham daripada negara.

“Saya belum dengar lagi (ada pemimpin kumpulan yang perjuangkan Melayu dan Islam suarakan menentang pemimpin ambil sumber kekayaan negeri atau negara),” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com