KUALA LUMPUR:Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa purata penggunaan petrol RON95 melalui Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi setiap pengguna hanyalah 98 liter sepanjang bulan Oktober lalu.
Menurut beliau, jumlah itu mewakili hanya 33 peratus daripada had bulanan 300 liter yang ditetapkan di bawah program berkenaan.
“Purata penggunaan bulan Oktober adalah 98 liter sahaja, iaitu 33 peratus daripada kelayakan. Mereka yang menggunakan lebih 300 liter pula hanya 0.7 peratus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang ingin mengetahui perkembangan pelaksanaan BUDI95 pada bulan pertama.
Dalam perkembangan sama, kerajaan bersetuju menaikkan siling penggunaan BUDI95 bagi pemandu e-hailing daripada 600 liter kepada 800 liter sebulan.
Perdana Menteri menjelaskan keputusan itu dibuat selepas meneliti maklum balas pemandu e-hailing yang mendapati jumlah semasa masih tidak mencukupi menampung kos operasi harian.
“Untuk Oktober, subsidi bagi pemandu e-hailing aktif dinaikkan daripada 300 liter kepada 600 liter untuk 58,000 pemandu yang layak. Namun, ada lagi yang merasakan jumlah itu tidak mencukupi. Maka kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan kepada sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu yang layak,” katanya.
Langkah penambahbaikan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan bantuan subsidi petrol disalurkan secara lebih bersasar, terutama kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk pemandu e-hailing yang bergantung kepada penggunaan bahan api sebagai sumber pendapatan utama.