Friday, 7, November, 2025
Utama Nasional Trump nak jumpa KPN, AS puji profesionalisme keselamatan Malaysia – PM

Trump nak jumpa KPN, AS puji profesionalisme keselamatan Malaysia – PM

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bulan lalu, khususnya dalam aspek keselamatan, mendapat pujian daripada pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Trump meluahkan rasa kagum terhadap keupayaan pasukan keselamatan negara semasa lawatan rasmi beliau ke Malaysia ketika sidang kemuncak berkenaan.

“Kejayaan pasukan kita keseluruhannya termasuk pasukan keamanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan kecekapan masa lawatan Presiden AS dan Premier China (Li Qiang) menyebabkan mereka kagum dengan tahap profesionalisme pasukan keselamatan kita,” katanya.

Anwar berkata, Presiden AS turut menyatakan hasrat untuk bertemu sendiri dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi atas kecekapan pasukan keselamatan Malaysia.

“Saya masih ingat, Presiden Trump minta kebenaran nak jumpa Ketua Polis Negara untuk menyatakan penghargaan kerana tahap pasukan keselamatan kita yang sangat membanggakan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kejayaan Malaysia menguruskan lawatan pemimpin dunia turut menarik perhatian antarabangsa dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan serta keupayaan negara.

“Tadi, saya ada mesyuarat di pejabat dengan satu daripada kumpulan pelaburan terbesar dunia dari New York. Mereka sudah mempunyai beberapa pelaburan awal di sini, tetapi kini mereka melihat perhatian global yang kita terima dan kejayaan pelbagai pasukan kita sebagai satu bukti kemampuan sebenar Malaysia,” katanya.

Di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan baru-baru ini, Trump turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian damai dikenali sebagai ‘KL Peace Accord’ antara Thailand dan Kemboja.

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, sekali gus menandakan langkah rasmi menamatkan pertelingkahan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Anwar berkata, kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah rundingan dan perjanjian damai berkenaan memperkukuh peranan negara sebagai kuasa sederhana yang berpengaruh dalam rantau ini.

“Peranan Malaysia sebagai tuan rumah kepada perjanjian damai ini membuktikan kepercayaan dunia terhadap kepimpinan dan kemampuan kita menguruskan isu serantau secara aman dan diplomatik,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com