Saturday, 15, November, 2025
Utama Nasional Malaysia teguh galas peranan damai isu sempadan Kemboja–Thailand

Malaysia teguh galas peranan damai isu sempadan Kemboja–Thailand

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan komitmen sebagai pemudah cara yang berkecuali dan bertanggungjawab dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berhubung ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendirian Malaysia dalam memelihara keamanan serantau adalah jelas, khususnya ketika rantau ini berdepan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Menurut beliau, perkembangan terkini konflik sempadan itu turut dibincangkan bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dalam satu perhubungan hari ini.

“Saya menghargai langkah matang Kemboja yang terus memilih jalan damai, mengutamakan dialog serta berpegang kepada mekanisme perundingan yang telah dipersetujui. Malaysia mendukung sepenuhnya komitmen tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 menjadi asas penting dalam usaha menghentikan pertikaian yang berlarutan antara kedua-dua negara jiran itu.

Hun Manet menerusi kenyataan berasingan turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas peranan konsisten dalam memastikan penyelesaian aman dapat dicapai.

Ketegangan di sempadan meningkat selepas Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan insiden letupan periuk api yang mencederakan empat anggotanya ketika rondaan di wilayah Sisaket. Salah seorang daripada mangsa dilaporkan kehilangan kaki.

Pertembungan bersenjata antara kedua-dua negara itu turut berlaku pada Julai lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko konflik lebih besar jika tidak ditangani secara diplomatik.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur sebelum ini dimeterai oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Hun Manet dengan disaksikan Anwar serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan aktif dalam memelihara keharmonian serantau dan memastikan segala perbezaan ditangani melalui pendekatan berhemah serta berasaskan persefahaman bersama.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com | Hakmilik MERCU MEDIA ADVERTISING SDN. BHD.