KUALA LUMPUR: Rundingan mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah akan dimulakan segera di peringkat teknikal meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 sedang berlangsung, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata proses itu tidak wajar ditangguhkan walaupun Sabah kini ditadbir kerajaan sementara susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 6 Oktober lalu.
Menurut Anwar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengeluarkan surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sabah bagi memulakan rundingan teknikal, termasuk perkara yang disentuh dalam penghakiman mahkamah.
“Kerajaan sementara tidak menghalang rundingan dimulakan. Jawatankuasa Teknikal akan merujuk dapatan kepada Menteri Kewangan, Ketua Menteri dan Jemaah Menteri selepas kerajaan baharu dibentuk,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Menjawab pertanyaan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai pihak yang mewakili Sabah dalam tempoh PRN, Anwar menegaskan hubungan harmoni antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dijaga bagi memastikan semua isu dapat diselesaikan secara rasional.
Beliau turut mengingatkan agar sentimen perkauman sempit tidak dimainkan dalam isu berhubung tuntutan hasil.
“Jika isu menghasut atau perkauman dibangkitkan, rakyat yang akhirnya menanggung akibat — masih berdepan masalah air, elektrik dan jalan berlubang,” katanya.