Friday, 21, November, 2025
Utama Ekonomi Anwar hadiri sidang kemuncak G20 di Afrika Selatan

Anwar hadiri sidang kemuncak G20 di Afrika Selatan

oleh Ammar Haziq

PRETORIA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Afrika Selatan malam Khamis bagi memenuhi undangan menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20) yang berlangsung di Johannesburg.

Pesawat khas yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof pada jam 6.38 malam waktu tempatan sebelum disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof, selain beberapa pegawai kanan negara tuan rumah.

Anwar kemudian dijadual meneruskan perjalanan ke Johannesburg yang terletak kira-kira sejam dari Pretoria, ibu kota pentadbiran Afrika Selatan.

Lawatan kerja selama empat hari itu dibuat atas jemputan Presiden Cyril Ramaphosa, selaras kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025. Tema penganjuran G20 pada tahun ini, “Solidarity, Equality, Sustainability”, turut dianggap seiring dengan aspirasi negara membangun dalam memperjuangkan agenda global.

Sepanjang berada di negara itu, Anwar dijangka mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia–Afrika Selatan selain memanfaatkan platform G20 untuk menekan kepentingan negara-negara di Global Selatan.

G20 menghimpunkan 19 negara dan Kesatuan Eropah termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia, Arab Saudi, Turkiye, Jerman dan Perancis.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Pada 22 November, Anwar dijadual menyampaikan kenyataan negara pada dua sesi penting, masing-masing membabitkan topik pertumbuhan ekonomi inklusif, perdagangan, pembiayaan pembangunan, beban hutang, perubahan iklim dan peralihan tenaga yang adil.

Beliau turut menghadiri Majlis Makan Malam Rasmi Pemimpin G20, selain mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin Afrika Selatan serta beberapa sesi libat urus termasuk bersama komuniti perniagaan dan tokoh masyarakat Muslim negara itu.

Anwar turut dijangka bertemu diaspora Malaysia di Afrika Selatan serta mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe.

Pada hari terakhir, beliau akan menyertai Sesi 3 Sidang Kemuncak G20 yang memberi tumpuan kepada mineral kritikal, pekerjaan masa depan dan kecerdasan buatan.

Delegasi Malaysia kemudian dijadual berlepas ke Nairobi, Kenya bagi meneruskan siri lawatan rasmi di benua Afrika.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.