KUALA LUMPUR: Isu Palestin dijangka menjadi antara fokus utama pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa, sempena lawatan kerja beliau ke negara itu menjelang Sidang Kemuncak Pemimpin G20 hujung minggu ini.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof, Perdana Menteri akan membawa pendirian tegas Malaysia dalam usaha menghentikan keganasan di Gaza, selari dengan komitmen Afrika Selatan yang menjadi antara negara paling lantang menentang dasar aparteid Israel.
“Malaysia sentiasa mengambil pendirian jelas dan konsisten dalam menuntut keadilan untuk Palestin. Dalam konteks ini, Malaysia dan Afrika Selatan berkongsi sejarah panjang menentang penindasan serta sama-sama memperjuangkan hak rakyat Palestin,” katanya pada sidang media secara dalam talian dari Pretoria.
Selain isu Palestin, kedua-dua pemimpin juga dijangka meneroka kerjasama baharu dalam perdagangan, pendidikan dan program pembinaan kapasiti sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala. Afrikan Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua itu dengan nilai perdagangan mencecah RM7.82 bilion pada 2024.
Yubazlan berkata Anwar turut akan tampil dalam satu sesi temu bual bersama pensyarah dan aktivis, Dr Sizwe Mpofu-Walsh, bagi menyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan Palestin serta kepentingan solidariti antarabangsa dalam menghentikan kekejaman di Gaza.
Semasa berada di Johannesburg, Anwar yang diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; turut dijadual bertemu komuniti Islam serta diaspora Malaysia sebelum meneruskan lawatan rasmi ke Nairobi, Kenya.
Presiden Ramaphosa sebelum ini mengakui hubungan Malaysia–Afrika Selatan telah terjalin sejak lebih 300 tahun, diperkukuh oleh perjuangan bersama menentang penjajahan dan diskriminasi. Beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Malaysia terhadap tindakan negaranya memfailkan aduan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).