Tuesday, 25, November, 2025
Utama Nasional Malaysia–Kenya perkukuh hubungan dua hala ke tahap strategik

Malaysia–Kenya perkukuh hubungan dua hala ke tahap strategik

oleh Ammar Haziq

NAIROBI — Malaysia dan Kenya bersetuju meningkatkan hubungan dua hala ke tahap kerjasama strategik merangkumi sektor ekonomi, perdagangan dan teknologi.

Perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Kenya, William Samoei Ruto, di State House Nairobi pada hari terakhir lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara tersebut.

Anwar berkata Malaysia bersedia memperluas kerjasama dengan Kenya dalam pelbagai bidang selain perdagangan tradisional, termasuk teknologi baharu yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara mempunyai keupayaan besar untuk memajukan kerjasama yang lebih berkesan,” katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat.

Ruto pula menyambut baik keputusan Malaysia menghapuskan tarif ke atas produk pertanian dan daging lembu dari Kenya, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam membuka ruang pasaran baharu kepada pengeluar negara itu.

Beliau berkata perbincangan bersama Anwar turut menegaskan komitmen memperluas eksport antara kedua-dua negara serta memperkukuh kerjasama dalam teknologi digital dan industri pembuatan berteknologi tinggi.

Terdahulu, Anwar diberikan sambutan rasmi di State House sebelum kedua-dua pemimpin memulakan sesi rundingan.

Lawatan dua hari Anwar ke Nairobi merupakan sebahagian rangka kerja diplomatik Malaysia di rantau Afrika, selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg, Afrika Selatan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.