Saturday, 15, June, 2024
Utama Nasional Belanjawan 2024: Kesihatan, pendidikan terus diberi peruntukan paling besar

Belanjawan 2024: Kesihatan, pendidikan terus diberi peruntukan paling besar

oleh Ammar Haziq

IPOH: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan akan terus mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan MADANI 2024 yang akan dibentangkan pada 13 Okt ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata antara isu yang akan difokuskan dalam Belanjawan MADANI kedua itu bagi KKM ialah pembinaan klinik-klinik kesihatan dan mengatasi masalah kesesakan hospital kerajaan di seluruh negara.

“Dalam Belanjawan MADANI, isu kesihatan dan pendidikan kita akan terus utamakan. Fokus utama ialah kemudahan kesihatan termasuk rumah sakit.

“Ada yang kata sejak Anwar jadi PM, kebanyakan hospital sesak, sesak ini dah lama berlaku, jadi kita akan uruskan dengan baik,” kata beliau ketika berucap melancarkan Skim Perubatan MADANI dan program MADANI Afiat Peringkat Kebangsaan 2023, di sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata rasionalisasi subsidi perlu disusun supaya bantuan subsidi kerajaan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar memerlukan.

Ini kata beliau termasuk caj rawatan hospital kerajaan.

“Kena kaji, kalau nak terus bagi subsidi, yang 10 peratus (golongan berpendapatan tinggi) kita tak perlu bagi subsidi, macam hospital, caj rendah, percuma pun ada, tapi kita bagi pada semua, salah kah golongan paling kaya kita kenakan bayaran lebih tinggi,” kata beliau.

Menyentuh mengenai Skim Kesihatan MADANI, Perdana Menteri berkata ia merupakan satu inisiatif penting Dasar Malaysia MADANI bertujuan menyediakan akses sama rata perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada golongan B40.

Dalam ucapan sama, Anwar turut mengucapkan selamat Hari Farmasi Sedunia pada warga farmasi seluruh negara sempena hari yang disambut pada 25 Sept lepas.

Beliau turut memuji usaha negeri Perak yang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempertingkat maklumat kesihatan kepada rakyat termasuk program Bulan Kesihatan Malaysia peringkat negeri.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com