KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI menghormati sepenuhnya mandat baharu yang diterima Datuk Seri Hajiji Noor bagi membentuk Kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata keputusan rakyat itu jelas menunjukkan tuntutan perubahan selepas sekian lama berdepan ketidakadilan dan pengabaian, sama ada oleh parti dari Semenanjung atau Sabah sendiri.
“Dalam tiga tahun ini, kita berusaha merungkai isu-isu yang diwarisi, termasuk tuntutan dan hak berkaitan MA63. Beberapa kemajuan nyata telah dicapai,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan pembaharuan demi mewujudkan Sabah yang adil, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.
“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti dijunjung dengan penuh pertanggungjawaban,” katanya.
Keputusan rasmi PRN Sabah menyaksikan GRS memenangi 29 kerusi, muncul parti dengan kerusi terbanyak. Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua awal pagi tadi.