Thursday, 4, December, 2025
Utama Nasional Kerajaan lulus RM500 juta baiki infrastruktur awam rosak banjir

Kerajaan lulus RM500 juta baiki infrastruktur awam rosak banjir

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan RM500 juta bagi melaksanakan kerja pembaikan segera ke atas infrastruktur awam yang rosak akibat banjir di beberapa negeri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata semua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan telah diarahkan untuk melakukan penilaian kerosakan dengan segera dan memulakan pembaikan tanpa sebarang kelewatan.

“Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas serta jalan yang terjejas. Bagi mempercepatkan proses, saya meluluskan RM500 juta untuk membaiki kerosakan akibat banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

RUU Perbekalan itu diluluskan di Dewan Rakyat semalam selepas dibentangkan Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meningkatkan kesiapsiagaan dan melaksanakan langkah sewajarnya bersama pihak berkuasa tempatan serta kerajaan negeri bagi menangani bencana tersebut.

Beliau berkata banjir tahun ini menyaksikan lebih 150 pusat pemindahan sementara (PPS) tambahan diaktifkan, yang menempatkan lebih 12,000 mangsa di seluruh negara.

Dalam pembentangan itu, Anwar mengulangi komitmen kerajaan melalui Belanjawan MADANI 2026 yang memperuntukkan RM470 bilion bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh tadbir urus dan memastikan bantuan tiba secara langsung kepada rakyat.

Sabah dan Sarawak kekal menerima keutamaan pembangunan meliputi projek air, pembaikan sekolah daif, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta peningkatan kemudahan digital melalui projek Kabel Dasar Laut MADANI.

Dari aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, NADMA menerima RM460 juta, manakala RM2.2 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar dengan RM66.2 bilion, diikuti Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.5 bilion termasuk pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak pada tahun depan.

Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan MADANI dan yang pertama dilaksanakan di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.