Tuesday, 6, January, 2026
Utama NasionalPM mahu permit bazar Ramadan lebih telus, PBT diminta hapuskan peranan ejen

PM mahu permit bazar Ramadan lebih telus, PBT diminta hapuskan peranan ejen

oleh Ammar Haziq


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara menghentikan amalan melibatkan ejen atau orang tengah dalam pengurusan permit perniagaan bazar Ramadan.


Beliau berkata, kaedah itu sering membuka ruang kepada ketirisan dan beban kos tambahan kepada peniaga kecil, khususnya golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada bazar Ramadan sebagai sumber pendapatan bermusim.


Menurut Anwar, PBT disaran mencontohi pendekatan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang melaksanakan pendaftaran bazar Ramadan secara dalam talian bagi memastikan proses lebih telus, teratur dan mudah diakses.


Katanya, penggunaan sistem digital bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah dapat mengekang pihak tertentu daripada mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran tidak munasabah.


“Bazar Ramadan ini peluang rakyat, khususnya peniaga kecil, untuk mencari rezeki tambahan. PBT perlu memudahkan urusan dan menutup ruang kepada mereka yang mengaut keuntungan melalui komisen,” katanya.


Anwar turut menegaskan usaha membanteras rasuah tidak seharusnya terhenti di peringkat atasan sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan hingga ke peringkat pelaksanaan di lapangan.


Dalam pada itu, beliau menggesa PBT memastikan kemudahan asas di bazar Ramadan berada pada tahap memuaskan, termasuk kebersihan dan bekalan air yang mencukupi.


Anwar berkata, kerajaan Persekutuan bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menambah baik prasarana bazar Ramadan di seluruh negara.


Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan kebersihan kawasan bazar, termasuk pendakwaan dan denda mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Artikel Berkaitan