PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan dana segera berjumlah RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz di seluruh negara yang berdepan masalah infrastruktur daif.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan tersebut amat penting memandangkan lebih 300,000 pelajar di institusi pendidikan agama berkenaan terkesan akibat keadaan kemudahan yang uzur dan tidak selamat, walaupun sekolah-sekolah itu tidak berada di bawah skim pendidikan kebangsaan.
“Dana ini disediakan bagi membaik pulih ribuan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz serta institusi berkaitan yang memerlukan perhatian segera, demi kebajikan pelajar dan kelangsungan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari serta Amanat Tahun 2026, di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata keputusan pentadbiran terdahulu yang membatalkan bantuan kepada sekolah-sekolah berkenaan telah memberi kesan besar terhadap kebajikan pelajar dan masa depan pendidikan agama di negara ini.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya mengadakan rundingan berterusan dengan pihak sekolah terlibat bagi menambah baik aspek kurikulum, kokurikulum, kualiti pengajaran serta kebajikan guru.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang masih berdepan isu kemudahan daif.
Beliau berkata SJKC kini turut menjadi pilihan pelajar pelbagai kaum termasuk Bumiputera dan masyarakat India, manakala beberapa SJKT pula memerlukan bantuan segera walaupun jumlahnya lebih kecil.
Menurut Anwar, semua kerja naik taraf akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya dengan syarat kawalan margin harga diberi perhatian serta penggunaan bekalan dan produk tempatan diutamakan.