ISTANBUL: Hubungan dua hala Malaysia–Turkiye melakar sejarah baharu apabila kedua-dua negara bersetuju menubuhkan High-Level Strategic Cooperation Council (HLSCC), sekali gus mengangkat kerjasama strategik ke tahap paling tinggi sejak hubungan diplomatik dimeterai.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan HLSCC mencerminkan tahap kepercayaan tinggi Ankara terhadap Kuala Lumpur, memandangkan mekanisme itu hanya diwujudkan bersama rakan strategik terpilih Turkiye.
Menurut beliau, majlis peringkat tinggi itu akan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dengan pelaksanaan serta susulan dasar akan diterajui oleh menteri-menteri berkaitan kedua-dua negara.
“HLSCC ini membuka lembaran baharu hubungan dua hala kerana tidak banyak negara diberikan ruang kerjasama strategik pada tahap ini. Ia menjadi platform utama untuk mengangkat hubungan Malaysia dan Turkiye secara lebih tersusun dan menyeluruh,” katanya.
Anwar menjelaskan, tumpuan kerjasama menerusi HLSCC merangkumi pelaburan dan perdagangan sebagai teras utama, selain memperluaskan kolaborasi dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan teknologi.
Beliau berkata, antara sektor strategik yang dikenal pasti termasuk penerbangan, kecerdasan buatan, tenaga, teknologi baharu serta sumber nadir bumi yang dilihat berpotensi besar untuk manfaat jangka panjang kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi beliau ke Turkiye yang bermula pada 6 Januari lalu, melibatkan beberapa siri pertemuan peringkat tertinggi di Ankara dan Istanbul.
Lawatan rasmi itu turut disertai isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Dalam perkembangan sama, Anwar merakamkan penghargaan atas penganugerahan The Order of the Republic (Turkiye), iaitu darjah kebesaran tertinggi republik itu yang diberikan kepada pemimpin asing yang berjaya memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye.
Beliau menyifatkan anugerah tersebut sebagai penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada seluruh rakyat Malaysia, selain mencerminkan hubungan persahabatan yang telah terjalin sejak berabad lamanya.
Menurut Anwar, hubungan Malaysia–Turkiye telah berakar sejak era Empayar Uthmaniyah dan Kesultanan Melayu, termasuk hubungan sejarah antara Sultan Johor dan Sultan Kedah yang direkodkan dalam catatan lama.
Beliau turut menegaskan bahawa sambutan luar biasa yang diterima sepanjang lawatan rasmi itu, termasuk dari aspek protokol dan keterlibatan rakyat, menunjukkan kedudukan istimewa Malaysia di mata kepimpinan Turkiye.
“Tidak semua negara menerima layanan sedemikian, apatah lagi negara membangun seperti Malaysia. Ia mencerminkan penghormatan tinggi Turkiye terhadap hubungan dua hala ini,” katanya.
Anwar berkata, penubuhan HLSCC dijangka menjadi tonggak utama yang membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam bidang ekonomi, teknologi, pendidikan, keselamatan serta industri strategik antara Malaysia dan Turkiye dalam tempoh sedekad akan datang.