KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepimpinan global masih gagal bertindak secara berkesan dalam menangani krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, sekali gus menjejaskan usaha menegakkan keadilan dan akauntabiliti antarabangsa.
Beliau berkata kegagalan tersebut mencerminkan kemerosotan nilai kemanusiaan sejagat apabila penderitaan rakyat Palestin terus berlarutan tanpa tindakan tegas daripada masyarakat dunia.
“Saya sentiasa menggunakan istilah hilangnya pertimbangan hati nurani dan kekurangan nilai moral. Malah, ini adalah satu sikap hipokrit serta pengabaian terhadap kewarasan dan akhlak,” katanya.
Menurut beliau, skala tragedi yang berlaku di Gaza seharusnya membuka mata dunia terhadap realiti sebenar konflik Palestin-Israel.
“Maksudnya, selepas semua yang berlaku di dunia, anda masih gagal memahami latar sejarah Palestin? Saya tidak percaya,” katanya.
Anwar berkata kegagalan memahami isu tersebut tidak boleh disandarkan kepada kejahilan semata-mata, sebaliknya berpunca daripada pendirian ideologi melampau dan sikap perkauman yang disengajakan.
“Kecuali jika anda mengambil pendirian Zionis fanatik yang sangat kuat, atau pendirian perkauman atau antiwarna, tiada alasan mengapa seseorang tidak boleh memahami,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kegagalan dunia mengambil iktibar daripada sejarah kekejaman lampau, termasuk pengalaman Eropah sendiri dalam mempertahankan nilai kemanusiaan.
“Jadi apa yang berlaku kepada kemanusiaan kita? Apa jadi pada pengalaman sejarah kita di Jerman? Tidakkah kita belajar apa-apa?” katanya.
Perdana Menteri menegaskan situasi di Gaza bukanlah perkembangan baharu, sebaliknya kesinambungan ketidakadilan kolonial yang telah berlarutan sejak puluhan tahun.
“Kolonialisme sepatutnya sudah berakhir, tetapi ia masih wujud dan berkembang di Palestin, di Gaza, di hadapan mata berbilion orang,” katanya.
Beliau berkata penderitaan rakyat Palestin telah berlaku sejak lebih setengah abad lalu dan tidak boleh dilihat sebagai isu sementara.
“Orang mati, orang diperlakukan seperti hamba, dan ini bukan bermula tahun ini atau selepas 7 Oktober, tetapi berdekad-dekad lamanya,” katanya.
Anwar memberi amaran bahawa kegagalan berterusan masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas hanya akan mencetuskan kesan yang lebih buruk.
“Ia hanya akan mengundang lebih banyak kemarahan, permusuhan dan ekstremisme,” katanya.
Menyentuh soal akses bantuan kemanusiaan, beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sekatan yang menghalang penghantaran bantuan ke Gaza.
“Ratusan kontena bantuan dibiarkan menunggu di sempadan, sedangkan orang awam terus mati di sebelah sana,” katanya.