Sunday, 12, May, 2024
Utama Nasional Ada segelintir penguat kuasa Imigresen masih amal ‘sistem lama’- PM

Ada segelintir penguat kuasa Imigresen masih amal ‘sistem lama’- PM

oleh admin

PUTRAJAYA:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu terdapat segelintir penguasa Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama dipercayai mengandungi unsur rasuah.

Bagaimanapun beliau menegaskan dakwaan amalan lama itu tidak memberi gambaran secara umum mengenai kerosakan yang berlaku dalam jabatan berkenaan.

“Semalam saya sempat ke KLIA kerana ada sedikit keributan kecil. Tentunya saya lihat semua kaunter Imigresen berfungsi. Maknanya, majoriti staf Imigresen menjalankan tugas dengan baik.

“Tetapi sebagaimana juga kita sedar dan sering saya tekankan, ada sekumpulan kecil yang masih biasa dengan sistem dan amalan yang lama (rasuah).

YouTube player

“Saya percaya hal itu adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang harus bertindak.

“Selalu kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Saya pergi untuk beri jaminan bahawa sebenarnya tidak wajar kita memberi gambaran dan persepsi secara umum bahawa ada kerosakan dalam Imigresen.

“Tetapi tidak boleh kita nafikan, (angkanya) terlalu ramai,” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Julai di sini hari ini.

Anwar berkata lawatan beliau ke KLIA bertujuan mempertahankan integriti dan kewibawaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang ketika ini berdepan dengan kritikan umum.

Katanya, beliau turut menerima maklumat semalam mengenai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa berkait unsur rasuah berhubung pengeluaran sijil warganegara, dan perkara itu masih dalam siasatan.

Walaupun jumlah dipercayai wang sogokan yang diterima disifatkan kecil, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan, amalan sedemikian perlu dihentikan dan tidak boleh diamalkan.

“Harus ada tindakan yang keras dan tegas. Kalau tidak, ia akan merosakan seluruh imej pentadbiran, sama ada kepimpinan yang mampu berbicara tetapi tidak mampu mengamalkan.

“.. atau pun imej umum seperti mana yang saya lihat di KLIA, fungsinya baik, kaunter Imigresen itu semuanya berfungsi, Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) pun begitu, dan polis menjalankan tugas dengan baik,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com