BANGI – Kerajaan MADANI meletakkan usaha menangani kos sara hidup rakyat serta mempertingkat kemudahan urus niaga sebagai antara keutamaan utama bagi memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara terus memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keutamaan itu penting supaya pencapaian ekonomi tidak hanya dilihat melalui angka, sebaliknya dapat dirasai oleh rakyat dalam kehidupan seharian.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada manfaat yang jelas kepada rakyat, khususnya dalam menangani isu kos sara hidup dan memudahkan aktiviti perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Permukiman Kerajaan MADANI 2026 yang berlangsung di sini.
Menurut Fahmi, kemudahan berurus niaga atau ease of doing business turut menjadi fokus utama bagi memastikan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Mudah untuk menjalankan aktiviti perniagaan adalah satu keutamaan dan kerajaan juga memberi penekanan kepada komunikasi yang berkesan supaya hasil daripada apa yang disebut sebagai ‘dividen kestabilan’ benar-benar membuahkan hasil,” katanya.
Beliau berkata, beberapa indikator ekonomi positif seperti pengukuhan nilai ringgit, peningkatan pelaburan serta kadar pengangguran yang berada pada paras terendah dalam tempoh 14 tahun menunjukkan negara berada di landasan yang betul.
Permukiman berkenaan turut menghimpunkan kepimpinan Kerajaan Perpaduan dari peringkat Persekutuan dan negeri, termasuk Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Fahmi berkata, sesi permukiman itu membuka ruang perbincangan secara terbuka dan produktif berkaitan pelaksanaan dasar, prestasi kementerian serta aspek komunikasi kerajaan, sekali gus memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Susulan perbincangan tersebut, beliau berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya hasil permukiman diterjemahkan kepada beberapa program konkrit yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat demi kepentingan rakyat.