Friday, 3, May, 2024
Utama Ekonomi Malaysia bakal jadi hub penting minyak, gas

Malaysia bakal jadi hub penting minyak, gas

oleh Ammar Haziq

Chukai: Malaysia bakal menjadi hub penting bagi syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco (Aramco) selepas syarikat itu berminat melabur di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen syarikat itu ditunjukkan apabila satu mesyuarat lembaga Aramco akan diadakan di negara ini tahun depan.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan dikendalikan Petronas dalam usaha meningkatkan pelaburan dalam bidang berkenaan.

“Saya (ada) jumpa dengan Putera Mahkota (yang juga) Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman… ada syarikat gergasi minyak, Aramco (iaitu) antara syarikat gergasi minyak terbesar di dunia (dan) dia beri tahu saya mengenai pelaburan di Pengerang (Johor), ia ada masalah sedikit.

“Tetapi (ada) satu perkara yang menarik yang kemudian saya maklumkan kepada Tan Sri Mohd Hassan Marican (bekas Presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas) dan Taufik (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz).

“Dia kata Perdana Menteri, saya nak jadikan pelaburan Aramco di Pengerang bersama Petronas dan Malaysia sebagai hub penting bagi pelaburan Arab Saudi di Malaysia dan untuk rantau ini.

“Dan saya difahamkan walaupun tidak untuk diumumkan sekarang, Mesyuarat Lembaga Aramco itu akan diadakan di Malaysia dan disambut oleh Petronas tahun depan, insya-Allah, ” katanya.

Beliau berkata demikian Sesi Ramah Mesra Bersama Warga Kerja Petronas Pantai Timur di Kompleks Petronas Pantai Timur, Kerteh di sini pada Rabu.

Media sebelum melaporkan Saudi Aramco akan beroperasi di Pengerang, Johor dan Kemaman, Terengganu tetapi masih belum dimuktamadkan.

Pada 2017, syarikat minyak dan gas nasional Arab Saudi itu telah menjalin pelaburan bersama dengan Petronas di Pengerang.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com